translate

Thursday 30 August 2012

Ayam Mayo Bersos Badam

Beberapa ketul isi ayam
seulas bawang putih(dutumbuk lumat)
Sedikit garam
Serbuk lada sulah
Tepung jagung

Perap isi ayam dengan bawang putih, garam dan serbuk lada sulah.  Kemudian gaulkan dengan tepung jagung.  Biarkan seketika.
Goreng dalam minyak sehingga garing kekuningan

Sos
4 sudu besar moyonis
2 sudu besar jus limau sunkish
1 sudu besar serbuk badam
1 sudu besar sos cili thai
Setengah ulas bawang putih(dimayang halus)
Air, gula dan garam

Bancuh semua bahan di atas dan panaskan.  Biar ada rasa manis dan masam.  Bila mendidih angkat.
Semasa menghidang curahkan sos pada ayam tersebut.

Wednesday 29 August 2012

Daging Kerutuk Masam Manis

Suku kilo daging(dipotong kecil dan dibersihkan)
5 ulas bawang merah(kisar)
Seulas bawang putih(kisar)
Sedikit halia(kisar)
1 sudu besar cili kisar
Sebatang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
2 sudu besar serbuk kari kerutuk
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar air asam jawa
sebiji tomato
Sebiji lada merah
Gula dan garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Panaskan minyak  dan tumis bahan kisar dan cili giling.  Bila naik wangi masukkan kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang.  kacau seketika.  Masukkan rempah kari kerutuk dan masukkan sedikit air.  Kacau biar naik minyak.  Masukkan sos tiram, sos cili dan sos tomato.  Masukkan daging dan tambahkan juga dengan air secukupnya.  Kacau dan didihkan sehingga daging empuk.  Masukkan air asam jawa, gula dan garam.  Kalau daging kurang empuk boleh tambah semula dengan air dan didihkan seketika.  Masukkan buah tomato dan cili merah.  Angkat bila daging betul-betul empuk.

Friday 24 August 2012

Macaroni Sup


Macaroni direbus dengan air yang secukupnya.  Semasa merebus masukkan sedikit garam dan 1 sudu besar minyak.  Bila betul-betul masak toskan.

Sup Ayam
Ketulan bahagian tulang ayam(seperti sayap, tengkuk atau sebagainya)
Fish ball..
Ubi kentang
Carrot
3 ulas bawang putih(diketuk)
sedikit halia(diketuk)
Sebatang serai(diketuk)
Setangkai daun sup(semasa merebus masukkan setangkai ini tanpa dipotong halus)
Sebatang kulit kayu manis
3 biji pelaga hindi
2 kuntum bunga lawang
Serbuk lada sulah
Bawang goreng
garam dan perasa
Semua bahan ini direbus dengan air yang secukupnya dan ibiarkan mendidih dengan agak lama). Kemudian masukkan kentang.  Masak sehingga ubi kentang empuk. Biar nampak berminyak.  Sebelum diangkat masukkan carrot,bawang goreng dan serbuk lada sulah

Thursday 23 August 2012

Nasi Kerabu Goreng



Bahan-bahannya
4 cawan nasi
3 ulas bawang putih(diketuk)
3 biji cili padi(potong nipis)
1 sudu besar sos tiram
Udang segar
Isi daging ayam
Telur
Lada sulah
Lada hitam

Bahan lebihan nasi kerabu
1/2 cawan sambal kelapa (yang kita makan dalam nasi kerabu)
Ulaman nasi kerabu(yang mesti ada..bunga kantan, serai dan daun limau purut)
Gula dan garam secukupnya

Caranya
Tumis bawang putih dan cili padi.  Bila naik bau masukkan telur dan kacau.
Masukkan ayam dan udang serta lada sulah.  Kacau dan masukkan juga sos tiram.
Masukkan gula dan sedikit garam.  Masukkan nasi, sambal kelapa dan ulaman yang telah dihiris halus tadi.
Masukkan serbuk lada hitam.  Kacau biar sekata.

Cara membuat sambal kelapa/ikan(yang ini sukatan yang banyak untuk makan nasi kerabu)
Bahan-bahannya
4 atau 5 ekor ikan selayang yang sederhana besarnya.
4 atau 5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 labu bawang besar
sedikit halia
sebatang serai
1 sudu besar lada hitam
1 cawan kelapa(digoreng dengan api yang kecil sehingga bewarna keperangan)
4 atau 5 keping asam keping
gula dan garam

cara-caranya
1. Ikan dibersihkan dan direbus bersama asam keping dan garam Sejukkan
2. Buang tulangnya dan menggunakan tangan dihancurkan isi ikan tersebut dan selepas itu digoreng kering seketika(boleh juga semasa digoreng ini dimasukkan sedikit lada sulah)
3. Bawang merah, putih, halia dan serai(potong kecil2 dahulu) ditumbuk bersama lada hitam. Apabila lumat masukkan gula dan garam.Hancurkan.
4. Kelapa yang telah digoreng tadi ditumbuk(jika ianya agak kasar) kemudian masukkan bahan yang ditumbuk  dan isi ikan yang digoreng kering tadi(simpan sedikit untuk dicampur semasa kita hendak makan nasi kerabu). Gaulkan semuanya.
5. Rasalah (kalau tidak cukup rasanya masukkan garam dan ajinomoto(jika mahu).
6. Bawang besar dihiris dan diramas-ramas sebelum dimasukkan dalam sambal ikan kita tadi.



Wednesday 22 August 2012

Pulut Lepa

Untuk Pulut
Sekilo beras pulut direndam setengah hari
segelas santan pekat
Segelas santan cair
Garam
Gula
Bunga cengkih sekadar beberapa kuntum
Daun pisang yang telah dilayur

Inti
Serunding daging

Panaskan pengukus dan kukus pulut sehingga masak.
Angkat dan masukkan santan cair yang telah ditambah dengan sedikit gula dan garam. Gaul sebati.
Kukus semula sehingga periuk kelihatan naik wap.
Angkat dan masukkan santan pekat yang telah ditambah dengan garam dan bunga cengkih.  gaul dalam pulut sehingga betul-betul sebati.  Ketepikan

Masukkan sedikit  pulut ke dalam daun pisang dan masukkan inti serunding daging di dalamnya dan kemaskannya dengan menggunakan stepler atau lidi kelapa disetiap hujungnya.
Bolehlah dipanggang di atas kuali permukaan rata sehingga daunnya kelihatan sedikit hangus.

Tuesday 21 August 2012

Bihun Sup Perut

Setengah kilo perut
3 ulas bawang putih(diketuk)
2 inci halia(diketuk)
1/5  kiub tomyam
Sebatang serai(diketuk)
Gula dan garam

Beehun
Sebungkus behun(dicelur)
Sawi(dipotong dan dicelur)
Taugeh(dicelur)
Daun sup(dipotong)
Cili merah(dipotong)
Bawang goreng
Serbuk lada sulah
Serbuk lada hitam
Limau nipis

Perut dibersihkan dan direbus.Bila airnya mendidih, angkat dan buang airnya.
Masukkan air yang lain ke dalam perut dan rebus semula.  Masukkan juga serai, bawang putih, halia dan kiub tomyam.  Rebus biar betul-betul empuk.  Masukkan gula dan garam.  Keluarkan perut dan potong kecil-kecil.  Airnya ketepikan dahulu.
Celur behun dengan sedikit garam hingga masak.  Toskan airnya.
Gaulkan behun bersama sawi, taugeh, daun sup, bawang goreng, perut, lada merah, lada sulah dan lada hitam.
Dimakan bersama kuah sup perut tadi yang telah diperah dengan limau nipis(panaskan semula kuah sup sebelum dihidangkan)

Thursday 16 August 2012

Dalca Campur

Daging, dan paru-paru(ikut kesukaan seberapa banyak)
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
rempah kasar(kulit kayu manis(1), pelaga hindi(3) dan bunga lawang(2)
4 sudu besar Rempah kari Alagapas/babas
1 sudu besar kacang dal
Setangkai daun kari
1 sudu besar cili giling
2 biji cili merah
Beberapa batang ketiak jagung
2 biji kentang
Beberapa biji bendir
4 cawan santan
Air asam jawa(2 sudu besar)
Gula dan garam

Daging dipotong kecil-kecil sementara paru-paru direbus. Seterusnya dipotong kecil.
Tumis daun kari bersama rempah kasar,serta  bawang-bawang dan halia yang sudah diblender. Biarkan sehingga naik wanginya dan seterusnya masukkan cili giling.  Biarkan seketika.  Selepas itu masukkan serbuk kari dan biarkan sekejap sambil dikacau dan seterusnya masukkan daging yang telah dipotong kecil tadi ,masukkan juga kacang dal yang telah direndam seketika dan masukkan sedikit air, kacau dan tutup periuk supaya daging mudah empuk dan pastikan jangan hangit.(guna api yang kecil)- kalau nak guna periuk tekanan pun okey.Apabila daging empuk boleh masukkan peparu  yang telah dipotong kecil tadi. Seterusnya masukkan air asam jawa, gula dan garam.  Masukkan santan dan ubi kentang.  Biar sedikit mendidih. Masukkan cili merah/hijau, ketiak jagung dan bendir.  Masaklah sehingga dalca kita naik minyak dan menjadi kelihatan cantik.

Wednesday 15 August 2012

Pulut Udang

Untuk Pulut
Sekilo beras pulut direndam setengah hari
segelas santan pekat
Segelas santan cair
Garam
Gula
Bunga cengkih sekadar beberapa kuntum
Daun pisang yang telah dilayur

Panaskan pengukus dan kukus pulut sehingga masak.
Angkat dan masukkan santan cair yang telah ditambah dengan sedikit gula dan garam. Gaul sebati.
Kukus semula sehingga periuk kelihatan naik wap.
Angkat dan masukkan santan pekat yang telah ditambah dengan garam dan bunga cengkih.  gaul dalam pulut sehingga betul-betul sebati.  Ketepikan

Inti
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 batang serai
1 sudu besar cili giling
2 sudu besar udang kering
Beberapa ekor udang segar yang telah dikupas kesemua kulitnya dan dipotong kecil
2 mangkuk (kecil) kelapa  parut.
1 sudu kecil jintan manis
sedikit serbuk kunyit
Sedikit rempah kari ikan
Gula dan garam
Air secukupnya

Bawang merah, putih, serai,udang kering dan jintan manis diblender dengan sedikit air hingga hancur.
Masukkan kelapa parut ke dalam kuali dan masukkan bahan blender.  Masukkan juga serbut kunyit. cili giling, rempah kari, udang segar,gula dan garam serta air secukupnya.  Kacau atas api yang kecil hingga betul-betul masak dan sedikit kering.
Bungkus pulut menggunakan daun pisang dan letak inti  ditengahnya dan setiap hujungnya distepler atau dicucuk dengan lidi.
Panggang di dalam pan rata yang telah disapu sedikit minyak sahingga masak/daun sedikit hangus.

Sunday 12 August 2012

Bihun Tomyam

2 keping bihun
Serbuk kunyit
4 ulas bawang putih(diketuk)
3 batang serai(diketuk)
4 helai daun limau purut(dibuang tulangnya)
4 biji cili padi(diketuk)
2 biji limau nipis(diambil jusnya)
1/2 sudu besar cuka
Bunga kobis
Ketiak jagung
Carrot
Tomato(dibelah 4)
2 ekor sotong(dipotong bulat)
10 ekor udang(dikupas kulitnya dan dibiarkan ekornya)
beberapa ketualan kecil isi ayam
Bebola ikan/fish cake/bebola daging
Gula dan garam
Air secukupnya
Minyak

Caranya
Celur behun dengan air yang secukupnya.  Masukkan serbuk kunyit dan sedikit garam.
Apabila nampak masak toskan .
Biarkan.
Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih bersama cili padi   Biar naik bau kemudian masukkan serai dan daun limau purut.  Kemudian masukkan air secukupnya.
Bila mendidih masukkan isi sotong, ayam dan udang.  Masukkan juga bebola ikan.
Masukkan cuka dan jus limau nipis.
Masukkan sayur-sayur yang telah dipotong.
Masukkan gula dan garam
Dihidang bersama behun yang telah dicelur tadi.Bolehlah diletakkan juga daun sup atau daun ketumber.

Friday 10 August 2012

Siakap Masak Siam

Bahannya
Seekor ikan siakap
Seulas bawang putih
Sedikit garam
Lada Sulah
1 sudu teh cuka
Tepung jagung

Perap ikan bersama bawang putih yang telah ditumbuk dan juga garam,cuka dan lada sulah.  Biarkan seketika.
Lumurkan dengan tepung jagung dan digoreng dalam minyak yang banyak sehingga masak.

Sos
4 sudu besar sos plum
3 sudu besar sos tiram
Sebiji limau nipis(ambil jusnya)
Gula
Air secukupnya

Campurkan kesemuanya dan masak sehingga mendidih.

Bahan tabur
2 batang serai(dipotong halus)
Sekuntum bunga kantan(dipotong nipis)
2 ulas bawang merah(dimayang)
3 biji cili padi(dipotong)
1 biji cili merah(dipotong nipis)
Sebiji mangga muda(disagat)
Sebatang carrot(disagat)

Taburkan bahan tabur ke atas ikan dan curahkan sos ke atasnya.

Kuih Tahi Itik

Bahan-bahannya
10 biji putih telur
500ml santan
400gm gula pasir
100gm tepung pulut
150gm tepung beras
Sehelai daun pandan(dicarik-carik)

Caranya
Campurkan semua bahan dan kacau atas api sehingga masak dan nampak sedikit berkilat.
Biarkan sejuk.
Bulatkan atau boleh dibentuk mengikut kesukaan sendiri.

Tuesday 7 August 2012

Mee Segera Berkuah

Bahan-bahannya
3 keping mee segera(direndam beberapa jam)
4 ulas bawang putih(diketuk)
Bebola daging(dibelah 2)
Udang segar(dikupas kulitnya dan dibiarkan ekornya)
Sotong(dipotong bulat)
Sebiji telur
2 batang sawi
Kobis
Tomato(dibelah 4)
4 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
sebiji cili merah(hiris nipis)
2 tangkai daun sup
Lada sulah
Bawang goreng
Limau nipis
Air secukupnya
Gula dan garam secukupnya

Caranya
Toskan mee segera
Panaskan minyak dan tumis bawang putih.  masukkan sos tomato, cili, tiram dan kicap.
Masukkan udang, sotong dan bebola deaging.  Kacau seketika.
Masukkan air.  Biar sampai mendidih.  Pecahkan telur sebiji.
Masukkan sayur yang telah dipotong, cili merah dan tomato
Masukkan mee dan masukkan juga gula dan garam
Sebelum diangkat masukkan juga daun sup, lada sulah dan bawang goreng.  Tutup api..

Monday 6 August 2012

Jala Mas

Bahan-bahannya
10 biji kuning telur
Pewarna kuning
500ml air
250gm gula
10 biji gula batu
sebatang kulit kayu manis
Sehelai daun pandan

Caranya
Kuning telur dan sedikit pewarna kuning dipukul dengan garfu dan ditapis.  Biarkan selama setengah jam.
Masukkan ke dalam bekas/botol roti jala atau kalau tiada sekadar guna beg paping ising dan guna nozel muncung tajam halus.
Masak air bersama gula, gula batu,kulit kayu manis dan daun pandan .  Biarkan sehingga mendidih dan keluarkan kulit kayu manis dan daun pandan tersebut.
Kiraikan kuning telur tadi ke dalam air gula yang sedang mendidih (kalau guna botol roti jala kita hendaklah picit botol tersebut untuk telur keluar dari muncung roti jala begitu juga kalau guna paping beg.)
Menggunakan garfu atau sebagainya kacau-kacau sedikit jala mas yang ada dalam air mendidih tersebut.  Angkat dan toskan.  Lakukan proses ini sehingga adunan telur kita habis.  Toskan selama yang boleh dan kiraikan untuk dihidangkan.(kalau orang kelantan kita makan Jala Mas ini begitu sahaja)

Friday 3 August 2012

Kelapa Jelly

2 mug air kelapa muda(400ml)
4 mug air
1/4 tahil agar-agar kering(kalau beli yang dalam plastik tu dia tulis..37.5gm..guna 1/4 aja)
2 senduk gula(ikut kesukaan)

Masak agar-agar bersama air, air kelapa  dan gula hingga hancur.
Bila betul-betul mendidih tuang ke dalam bekas/buah kelapa
Sebelum tu keluarkan isi kelapa muda dan bolehlah dimasukkan juga ke dalam kelapa jelly kita.

Roti Jala dan Kuzi Ayam






Roti Jala
2 cawan tepung gandum
2 sudu besar susu tepung
3 sudu besar gula
sedikit garam
2 1/2 cawan air
sedikit serbuk kunyit atau pewarna kuning
Sebiji telur

Adunkan semua bahan tersebut dan ditapis untuk mendapat adunan yang tidak berketul-ketul.
Dengan menggunakan bekas roti jala kirailah ia dalam kuali yang disapu sedikit minyak  dan apabila masak boleh digulung atau dilipat segitiga.

Kuzi Ayam(kuzi cara mudah)
1/3 ekor ayam dipotong dan dibersihkan dan diperap seperti nak goreng ayam.
2 biji ubi kentang
sedikit kismis
sedikit kacang gajus
7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
sedikit halia
3 sudu besar sos tomato atau tomato puree
Rempah kasar(kulit Kayu manis(1), pelaga hindi(3) dan bunga lawang(2)
2 sudu besar rempah kuzi..(kalau tiada guna rempah kurma pun okey)
Setengah tin susu cair
Air(tidak kisah bila nampak kuah pekat boleh tambah air lagi masa sedang memasak)
3 sudu besar Bawang goreng(beli yang dah siap di kedai
Sehelai daun pandan
Gula dan garam

1.Ayam digoreng begitu juga ubi kentang yang telah dipotong kecil, dan kismis juga digoreng di dalam minyak yang panas.
2. tumiskan bawang merah, putih dan halia yang telah diblender sehingga naik bau dan masuklah rempah kasar, sos tomato dan rempah kuzi.Masukkan juga bawang goreng. Selepas itu masukkan daun pandan, susu cair dan air.  Masuklah ayam, ubi kentang dan buah kismis yang telah digoreng tadi. Masukkan gula dan garam. Pastikan kuzi ayam kita betul-betul mendidih dan bolehlah dimakan bersama roti jala.
Sebenarnya kuzi ini yang mudah disediakan dan kalau orang tua-tua dulu cara pembuatan agak rumit seperti bawang besar digoreng hingga garing dan juga ada penggunaan zafferan.Juga penggunaan tomato puree.

Thursday 2 August 2012

Krim Puff

300gm tepung gandum
250gm mentega
4 cawan air
4 biji telur
2 sudu teh vanila

Masak air bersama mentega sehingga hancur kemudian masukkan tepung .
Kacau sehingga tidak melekat di dinding periuk.
Angkat dan sejukkan.
Masukkan telur dan putar sehingga sebati adunan tersebut(sekejap aja)
Masukkan dalam paping beg dan dengan nozel untuk cream puff paipkan pada loyang yang telah disapu margerin dan dialas kertas kek.
Bakar selama 30 minit dengan suhu 200c atau bergantung pada oven masing-masing. (suhunya biar panas sedikit daripada bakar kek)
Apabila kekuningan bolehlah diangkat dan disejukkan atau kalau saya lebih mudah ketika panas kita masukkan krim kerana kulit cream puff tidak perlu dibelah dengan pisau...Masukkan krim kedalam nozel jenis muncung tajam dan cucukkan pada kulit krim puff.

Cream
400ml susu segar..kalau nak guna susu cair pun okey..tapi susu segar lebih sedapppp.
3 sudu besar tepung kastad
2 sudu besar tepung gandum
6 sudu besar gula
2 biji telur
sedikit garam
1 sudu besar mentega.

Masak kesemuanya sehingga pekat dan sejukkan.
Masukkan dalam paping beg asing dan masukkan dalam belahan kulit puff tadi.

Soto





2 keping dada ayam
Ketulan bahagian tulang ayam(wing, tengkuk/leher dan sebagainya)
3 ulas bawang putih(diketuk)
Sebatang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
Lada sulah
2 sudu besar bawang goreng
Sebatang serai
Gula dan garam

Rebus kesemua bahan sehingga betul-betul mendidih dan keluarkan bahagian dada ayam tadi.
Carik-carikkan isinya(halus-halus) dan digoreng tanpa minyak .(masukkan sedikit serbuk lada sulah)

2 Kentang(direbus dan dibelah 4 atau 6)
Lada merah(dihiris nipis)
Bebola ikan(digoreng)
Tauhu(digoreng dan dipotong kecil)
Daun sup(dipotong kecil)
Saun(digoreng dengan minyak)
Sawi(dipotong dan dicelur)
Telur rebus
Nasi impit(dipotong kecil)

Kicap pedas
2 biji bawang merah
Seulas bawang putih
1/2 cawan kicap manis
4 sudu besar gula
4 biji cili padi
2 biji limau nipis diambil jusnya
2 sudu besar bawang goreng

Blender semua bahan tersebut.(lebihan boleh disimpan dalam peti sejuk dan dimakan dengan mee kari, sebagai pencecah ikan bakar dan sebagainya)